Selama 20 tahun, Nabi Muhammad tidak pernah berbuat kasar kepada Anas bin Malik, pembantu beliau. Bagaimanakah beliau dapat bersikap begitu? Nabi Muhammad mengembangkan konsep cinta. Beliau mencintai orang lain seperti beliau mencintai dirinya sendiri. Bahkan, cintanya pada para sahabat melebihi cintanya kepada diri sendiri.
Kisah Anas bin Malik membuktikan betapa sejak dahulu, Nabi Muhammad sudah mengaitkan konsep cinta dan emosi positif bagi menggerakkan hati. Mungkin, anda masih tertanya-tanya. Dalam fikiran anda, muncul pertanyaan, apakah ada kaitan antara cinta dan emosi? Mari kita analisis bersama.
Merujuk kepada buku al-Jawabul Kafi Liman Saala ‘Ainid Dawaaisy Syafi (Edisi terjemahannya: Penawar Hati yang Sakit), Ibnu Qayyim al-Jauziyyah mengutip perbualan sahabat, Umar , dengan Nabi Muhammad,
“Wahai pesuruh Allah, sungguh engkau lebih aku cintai daripada segalanya, kecuali kepada diriku sendiri.” Nabi Muhammad menjawab, “Hai Umar, tidak, sehingga aku lebih engkau cintai daripada diriu sendiri.” Umar berkata semula, “Demi Zat yang mengutusmu, engkau pesuruh Allah, lebih aku cintai daripada diriku sendiri.” Nabi Muhammad menegaskan, “Engkau benar, wahai Umar!” Hadis ini direkodkan oleh Bukhari.
Perhatikan! Engkau pesuruh Allah, lebih aku cintai, kecuali diriku sendiri. Perkataan awal Umar itu belum menunjukkan kedekatan secara emosional. Mengapa? Cuba kita fikirkan, kedekatan emosional maksudnya memiliki kedekatan yang begitu erat. Apabila Umar masih mencintai dirinya sendiri, itu menunjukkan Umar tidak memiliki kedekatan emosi yang kuat dengan Nabi Muhammad. Oleh sebab itu, beliau pun membetulkan kata-kata Umar dengan lemah lembut.
Perhatikan! Sehingga aku lebih engkau cintai daripada dirimu sendiri. Ayat ini menunjukkan ikatan emosi yang kuat antara Nabi Muhammad dengan Umar.
Secara rasional, cinta itu hadir daripada perasaan saling berkasih sayang. Ada yang memberikan cinta dan ada yang menerima cinta. Ringkasnya, cinta memerlukan pengorbanan dan saling berkongsi kepercayaan.
Sesudah terjadi pertautan yang erat antara cinta dan emosi, kedekatan hati pula lahir. Hati yang sudah dekat itu mampu bersinergi mewujudkan impian dan cita-cita masa hadapan.
Oleh sebab itu, tidak menghairankan jika para sahabat faham benar kemahuan Nabi Muhammad hanya dengan melihat raut wajah beliau. Sahabat juga faham akan memek wajah beliau. Apabila marah, wajah Nabi kemerahan. Apabila gembira, Nabi tersenyum. Apabila tidak bersetuju dengan sesuatu hal, Nabi diam. Seperti itulah kedekatan hati. Tidak perlu diungkapkan dengan kata-kata, kita dapat merasakan kesedihan, kekecewaan dan kebaagiaan orang yang hatinya dekat dengan kita, sebagaimana dekatnya hati para sahabat dengan Nabi Muhammad.
Ibnu Qayyim al-Jauziyah juga berkata,
“Setiap pergerakan di alam ketinggian dan kemuliaan dan di alam kerendahan, sumbernya adalah cinta. Sebab, pergerakan itu ada tiga macam. Pergerakan atas dasar pilihan dan kemahuan, pergerakan semulajadi dan pergerakan yang datang dari paksaan.
Pergerakan semulajadi berasal daripada berhenti dan tenang. Tubuh bergerak sebab ia keluar dari tempat semulajadi. Namun, ia bergerak menuju tempat asalnya atau keluar darinya. Tubuh bergerak sebab penggerak yang memaksa ia bergerak. Jadi,ia memiliki gerakan yang terpaksa. Pergerakan semulajadi sendiri yang meminta bergerak munuju asalnya.
“Pergerakan pilihan dan kemahuan bersumber daripada dua jenis gerak, iaitu yang terpaksa dan yang semulajadi. Pergerakan pilihan ini datang daripada kemahuan, iaitu ikatan emosional dan cinta. Apabila yang bergerak itu tidak merasakan gerakan pada dirinya, maka ia adalah pergerakan semulajadi ataupun pergerakan secara paksaan. Sekiranya yang bergerak itu merasakan adanya gerakan yang terjadi pada dirinya, maka ini adalah jenis pergerakan kemahuan.” Petikan buku Al-Jawabul Kafi Liman Saala ‘Ainid Dawaaisy Syafi; Edisi terjemahannya: Penawar Hati yang Sakit.
Ternyata, cinta dan emosi dapat menggerakkan apa sahaja. Tanpa ada paksaan. Tanpa mengharapkan balasan. Semuanya dilakukan dengan ikhlas dan tulus. Hati juga tergerak apabila cinta sudah menyelimuti diri kita.
Oleh sebab itu, para sahabat selalu menjawab perintah Allah dengan sambutan cinta, “Kami dengar dan kami patuh (sami’na wa atha’na)!” Kenapa sampai jadi begitu? Ini kerana perasaan cinta yang tulus menggerakkan hati mereka.
Mahukah kita menggerakkan hati ini? Jawapannya rringkas, dekatkan diri kepada Allah dan Nabi Muhammad dengan kekuatan cinta dan ikatan emosi. Dua kekuatan ini yang menjadi asas kepada kita menajamkan hati menuju kasih sayang Allah. Dengan izin Allah, kejayaan melembutkan hati akan terpancar dalam kehidupan kita.
Pada kenyataannya, kita menggunakan perasaan cinta pada jalan kesesatan. Sungguh merugikan! Cinta itu kurniaan Allah. Cinta pemberian sang Maha Pencipta. Maka, berhati-hatilah semasa mengungkapkan cinta.
Cinta itu tidak membutakan hati, jester cinta menghidupkan seluruh batin kita. Kita dapat merasakan kehadiran Allah dengan cinta. Kita dapat menggerakkan semua jiwa ini kerana cinta kepada Allah.
Cinta dan emosi adalah kenikmatan yang Allah berikan kepada setiap hamba-NYA. Maka, kita jangan mendustakan kurniaan itu. Seperti ayat Allah yang disebut berulang kali dalam surah ar-Rahman,”Maka, nikmat Tuhan yang manakah yang mahu kamu dustakan?”
Selama kita memiliki cinta dan emosi, sinergikan kedua-duanya bagi mencapai cinta Allah. Hasilnya, hati kita semakin lembut, bersinar dan penuh ketenangan.
sumber: buku 'Smart Heart'-ditulis oleh Rusdin S. Rauf, m/s 23-26