Wednesday, 20 October 2010

Read Al Quran : hidup saya kosong, menderita jiwa dan perasaan kerana tidak pandai membaca al-Quran.


source that i read today and want to share with all



Setinggi mana kelulusan, walaupun sehingga ke peringkat PhD, namun hidup saya kosong, menderita jiwa dan perasaan kerana tidak pandai membaca al-Quran. Jangan jadi macam saya, belajarlah al-Quran ketika kita berpeluang pada usia muda. Jangan tunggu ketika usia 40 tahun baru hendak bermula
.



Tips dan petua hanyalah satu saranan atau pandangan berdasarkan pengalaman dan pengamatan yang boleh dikongsi bersama.

Secara akademik ia disebut sebagai Tacit Knowledge. Misalnya jika orang bertanya, “bagaimana perasaan seorang yang berkelulusan PhD, memegang Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA), berumur 40 tahun, berkahwin, mempunyai anak tetapi tidak pandai membaca al-Quran dan buta huruf – bahasa Arab – serta tidak tahu berdoa dalam bahasa tersebut?,” maka ilmu tentang perasaan tersebut hanya ada pada mereka yang mempunyai ciri-ciri tersebut.

Jika pertanyaan tersebut diberikan jawapan dan didokumentasi melalui penulisan atau penerbitan, maka perasaan tersebut menjadi ilmu yang boleh dimanfaatkan. Ia boleh menjadi tips dan petua kepada mereka yang mungkin melalui pengalaman tersebut pada masa hadapan.

Saya memberi contoh apa yang telah saya lalui. Malah saya sering berceramah kepada siswa-siswi yang sedang belajar di universiti tentang perasaan seorang profesor yang tidak pandai membaca al-Quran dengan menyebut,

Setinggi mana kelulusan, walaupun sehingga ke peringkat PhD, namun hidup saya kosong, menderita jiwa dan perasaan kerana tidak pandai membaca al-Quran. Jangan jadi macam saya, belajarlah al-Quran ketika kita berpeluang pada usia muda. Jangan tunggu ketika usia 40 tahun baru hendak bermula.

Jika ada yang bertanya, “bagaimana perasaan dan kaedahnya hendak mempelajari al-Quran ketika usia 40 tahun,” maka saya fikir berkemampuan untuk mencerita pengalaman tersebut sambil memberi tips dan petua berpandukan pengalaman yang telah saya lalui.

Malah saya sangat teruja untuk berkongsi pengalaman bagaimana saya boleh khatam al-Quran dalam tempoh yang singkat dan berjaya pula membaca terjemahan al-Quran dalam tempoh enam hari semasa di Madinah.

Dalam konteks yang berbeza, jika orang bertanya bagaimana caranya untuk bangun jam 1.30 pagi dan berada di Masjidil Haram hampir 15 jam semasa menunaikan fardhu haji, maka saya fikir saya berkelayakan untuk memberi jawapan – dengan izin Allah – kerana telah melalui pengalaman tersebut hampir 40 hari di sana.

Tips dan petua boleh merangsang motivasi. Malah ia boleh menjadi pemula kepada idea yang lain, mungkin amalan yang jauh lebih baik dan berkesan. Mungkin juga, ia baik untuk kami tetapi tidak berkesan untuk yang lain. Jadi, berlapang dada, berfikiran terbuka dan tidak perlulah berburuk sangka.

Misalnya, ketika menyampaikan tips – bagaimana mahu bangun malam di Mina – kepada bakal jemaah haji, seorang jemaah mengemukakan soalan,

“Bagaimana mahu solat malam di Mina, khemah penuh sesak, hendak berdiri pun tidak boleh?”

“Solat dan bermunajat di luar khemah”

“Angin gunung, sejuk. Saya tidak tahan”

“Solat, bermunajat atau berzikir di dalam khemah sambil duduk”

“Khemah sempit, tidak selesa”

Saya berkata di dalam hati, ”sembahyanglah di dalam tidur” kerana itulah yang sebenarnya beliau inginkan, justifikasi untuk tidak bangun awal.

Tips dan petua hanyalah cadangan yang boleh dipertimbangkan. Saya tidak mahu berbalas kata berdasarkan cadangan tersebut. Itulah yang dikatakan tips atau petua. Namun, seorang ustaz yang berada berhampiran saya memberitahu pemuda tersebut,

”Allah akan membantu mereka yang bersungguh-sungguh inginkan sesuatu. InsyaAllah, Allah akan bantu”

Oppss… itulah tips yang lebih baik!


http://muhdkamil.org/blog/2010/10/20/tips-1-terbuka-hati-dan-minda/

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails